fbpx

‘Sampai akhir hayat mereka berpegangan tangan, berpelukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Rosman dilihat memegang tangan ibunya, Salmah ketika meredah banjir di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang sebelum dihanyutkan arus deras pada kelmarin.

KUALA NERANG – “Salmah dan anaknya sentiasa bersama, malah sehingga akhir hayat mereka dilihat berpegangan tangan dan berpelukan”.

Demikian kata Md. Tajuddin Awang Muhammad, 47, bapa saudara kepada Salmah Mat Zain, 46, ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Tanjung Kanan, di sini hari ini.

Kata Md. Tajuddin, Salmah dan anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, tinggal berdua sahaja di rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan.

“Hubungan mereka sangat rapat dan pergi ke mana-mana pun bersama. Masa kejadian pun Rosman pegang tangan mak dia, mereka juga dilihat berpelukan sebelum hilang dihanyutkan arus deras.

“Malah, mayat dua beranak itu ditemui berhampiran antara satu sama lain iaitu pada jarak kira-kira 50 meter sahaja. Itu menunjukkan mereka tetap bersama ketika dihanyutkan arus banjir ketika kejadian semalam,” ujarnya.

Tambahnya, dua beranak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Kampung Tanjung Kanan, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua beranak iaitu Salmah dan Muhammad Rosman hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi semalam.

Mayat Muhammad Rosman ditemui di ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit kira-kira pukul 5.25 petang semalam.

Ibunya, Salmah pula dijumpai pada jarak kira-kira 50 meter di bawah timbunan pelepah kelapa sawit serta tunggul kayu kira-kira pukul 7.45 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI