JASIN – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh nekad dengan pendiriannya dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah berhubung isu pensijilan halal yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh pada 6 September lalu.
Katanya, kenyataan dibuat Teresa Kok itu secara terangan-terangan telah menyakitkan hati umat Islam di negara ini dan dakwaan DAP kononnya beliau sengaja menimbulkan isu bersifat perkauman adalah tidak berasas.
“Kenyataan saya adalah membalas kenyataan yang dikeluarkan Teresa Kok, kita tidak menyerang mana-mana pihak tetapi kita membalas semula kenyataan yang dikeluarkan pihak terbabit.
“Saya percaya ini adalah perkara yang bukan sahaja saya tetapi ia turut menyakitkan hati semua orang Islam, jadi saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan baik,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, pihaknya sentisa bersedia memberi kerjasama sekiranya kertas siasatan tersebut diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk sebarang tindakan lanjut.
“Jika perkara tersebut dibawa ke mahkamah untuk tindakan seterusnya beliau bersedia untuk dibicarakan. Kalau saya diheret ke mahkamah saya bersedia lawan di mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE