MACHANG – Seorang mudir Sekolah Rendah Integrasi Islam Ikhwan, Kampung Gong Kulim di Pasir Puteh disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan 34 buah buku berkaitan Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah di premis itu Selasa lalu.
Perintah lanjutan reman sehingga Rabu ini terhadap suspek berusia 66 tahun tahun itu dibenarkan oleh Majistret Amal Razim Alias.
Perintah reman itu bagi membolehkan lelaki tersebut disiasat pihak berkuasa mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sebelum ini, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan buku-buku berkaitan Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah di sekolah tersebut.
Kosmo! melaporkan pelbagai jenis bahan bacaan berkaitan Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah dirampas dalam serbuan di sebuah rumah amal dan sekolah milik GISBH di Gong Kulim pada Selasa lalu.
Kesemua buku-buku itu dijumpai di dalam stor rumah amal terbabit dalam operasi selama tiga jam bermula pada pukul 9 pagi. – KOSMO! ONLINE