LANGKAWI – Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli tekad untuk mempertahankan jersi putih saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada peringkat kedua dari Arau ke Butterworth esok.
Pada peringkat pertana yang berlangsung di Langkawi hari ini, Nur Aiman berjaya meraih empat mata selepas melakukan kayuhan bertenaga untuk ditabalkan selaku pelumba terbaik Asia sekali gus menyarung jersi putih.
Menurut Nur Aiman, kemenangan tersebut boleh dianggap sebagai langkah kanan untuk memastikan prestasi konsisten dapat dikekalkan pada baki perlumbaan nanti.
“Saya gembira apabila dapat peluang untuk pakai jersi putih hari ini. Saya serta rakan-rakan saling bekerjasama untuk mencari mata selain gelaran Raja Bukit dan secara keseluruhan sangat berpuas hati.
“Secara jujur, saya baru guna 70 peratus tenaga yang ada kerana mahu prestasi konsisten dapat dikekalkan pada peringkat seterusnya terutama di Cameron Highland nanti,” katanya.
Esok, saingan LTdL akan diteruskan dengan bagi peringkat kedua, sejauh 154.5 kilometer (km) dari Arau ke Butterworth, yang turut merangkumi tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar, dan Sungai Petani.
Peringkat ketiga pula akan berlangsung dari Taiping ke Cameron Highlands dengan laluan sejauh 170.3 km yang mencabar, melibatkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian. – KOSMO! ONLINE