KAMPAR – Seorang lelaki maut apabila dua buah motosikal dipercayai berlanggar dalam nahas di Kilometer (KM) 4.5 Jalan Kampar – Tronoh di sini kira-kira pukul 11.39 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, penunggang kedua-dua kenderaan itu iaitu sebuah Honda EX5 dan sebuah Yamaha Y15 menghala ke Tronoh Mines.
“Mangsa, Mohammad Khalil Mohammad Nor yang menunggang motosikal Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah.
“Sementara itu, penunggang motosikal Honda EX5 masih tidak sedarkan diri setelah dikejarkan untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Kampar,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan kerana mangsa yang selamat masih tidak sedarkan diri.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE