fbpx

Kerjasama PH, BN perlu demi kesejahteraan negara – Liew Chin Tong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkata, melalui keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam, menjadi petanda baik kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk memupuk kerjasama yang lebih erat.

“Melalui kerjasama yang lebih kukuh ini serta pentadbiran yang lebih cekap, adil dan meyakinkan, lebih ramai pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak keluar mengundi semalam, akan dapat dipujuk untuk kembali menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” tulisnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambahnya lagi, kemenangan besar calon BN,Syed Hussien Syed Abdullah dalam PRK Mahkota menunjukkan bahawa formula terbaik untuk memenangi pilihan raya umum ke-16 nanti adalah kerjasama rapat di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Jelasnya,Syed Hussien memperolehi 27,995 undi, iaitu 79 peratus daripada jumlah undi, manakala lawannya calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan hanya mendapat 7,347 undi. Majoriti yang diperolehi Syed Hussien adalah 20,648 undi.

“Pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, berlaku pertandingan tiga penjuru di Mahkota, dengan Barisan Nasional mendapat 16,611 undi, Pakatan Harapan 11,445 undi manakala Perikatan Nasional 7,614 undi di kerusi DUN ini.

“Apabila kita gabungkan undi yang diperolehi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRN Johor, jumlahnya adalah 28,056 undi, hampir sama dengan keputusan PRK semalam.

“Ini bermakna, melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh, kebanyakan pengundi Pakatan Harapan sudi memindahkan undi mereka kepada Barisan Nasional bagi PRK Mahkota,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI