fbpx

Kereta buruk jadi stor bergerak simpan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA kenderaan yang dirampas hasil serbuan ke atas sindiket dadah Rabu lalu.

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan dua buah kenderaan sebagai stor bergerak sejak Mei lalu tumpas selepas empat ahli termasuk ketuanya ditahan polis, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kesemua suspek ditahan merupakan lelaki tempatan yang berusia antara 29 hingga 49 tahun, termasuklah dalang kumpulan itu.

Menurut beliau, dadah yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di Kulai dan Skudai itu bernilai RM309,192.

“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur sebelum dibungkus semula dalam saiz peket lebih kecil dan disimpan di dalam bonet dua buah kenderaan.

“Mereka kemudian akan membawa bungkusan kecil dadah berkenaan ke beberapa lokasi yang memang dikenali merupakan sarang penagih dia sekitar bandar raya ini untuk dijual,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah Kumar, dadah yang dirampas adalah 55.9 kilogram ganja ketulan mampat; 11.7 kilogram heroin, 122.7 gram syabu, 21 gram pil eramin 5 dan 70 gram pil ekstasi.

“Kita turut merampas dua buah kereta, sebuah motosikal, seutas rantai dan juga wang tunai bernilai keseluruhan RM120,173,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kesemua suspek ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan jenayah, manakala ujian urin mendapati dua daripada mereka positif penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Oktober, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam pada itu, polis Johor telah menahan seramai 18,868 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah sejak 1 Januari hingga 26 September lalu melibatkan rampasan dadah sebanyak 4.14 tan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI