KLUANG – Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukan kerana nama Syed Hussein Syed Abdullah semata-mata namun ia terhasil atas komitmen semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien, 40, berkata, tanpa kerja keras rakan-rakan di dalam UMNO-BN serta gabungan Pakatan Harapan (PH) kemenangan tidak akan dapat diperolehi.
Namun katanya, lebih utama sekali adalah pengundi daripada semua kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.
“Tumpuan kini adalah untuk memberikan perhatian kepada golongan B40 untuk menangani kos sara hidup dengan memperkasakan pelbagai pakej disediakan kerajaan seperti Jualan Rahmah, Jualan Kasih Johor yang sememangnya menjadi harapan rakyat.
“Disamping itu beberapa perkara lain seperti masalah banjir, pendidikan serta perumahan juga akan diberikan perhatian sejajar dengan agenda Maju Johor 2030,” katanya.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian ketika hadir menyantuni pengundi di Laman Kreatif Kluang di sini hari ini.
Sebelum itu, Syed Hussien meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menyiarahi pusara ayahnya Syed Abdullah Syed Abdul Hamid di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu yang meninggal dunia tiga hari sebelum penamaan calon diadakan.
Ujarnya, mengunjungi pusara ayahnya itu sebagai tanda terima kasih atas segala yang diberikan selama ini sehingga menjadi seorang pemimpin di peringkat DUN. – KOSMO! ONLINE