KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio nyata tidak gembira dengan persembahan pemainnya yang bergelut untuk menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, beliau dapat merasakan Harimau Selatan berdepan kesukaran menewaskan The Cats, namun tidak menjangkakan pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar.
Katanya, disiplin tinggi benteng pertahanan lawan juga berjaya mematahkan serangan JDT sehingga tidak berjaya merekodkan jaringan pada babak pertama.
“Saya selalu tekankan kepada pemain supaya meningkatkan tahap permainan pada setiap perlawanan, pastikan tahap intensiti di tahap tinggi. Namun, ada masanya semua dirancang tak menjadi seperti dimahukan.
“Pemain sudah beri 100 peratus tetapi ia tampak kurang efektif dan bukan di tahap sebenar. Apa pun kita kena terima hakikat tidak selalunya sempurna dan cuba perbaiki di perlawanan akan datang,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, tumpuan pemain terganggu kerana JDT akan melayan kunjungan kelab China, Shanghai Shenhua untuk aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa ini.
Ditanya mengenai kecederaan Enzo Lombardo, beliau belum mendapat pengesahan daripada pasukan perubatan mengenai keadaan pemain kelahiran Perancis itu yang masih dalam pemantauan pegawai fisioterapi.
“Belum pasti lagi sama ada Enzo boleh beraksi dalam perlawanan ACLE menentang Shanghai Shenhua, kita akan pantau perkembangannya dari masa ke semasa,” jelas Bidoglio.