PETALING JAYA – Mendakwa masih dijadikan bahan sindiran, penyanyi Elly Mazlein memulangkan paku buah keras terhadap pengacara Jihan Muse yang disifatkan seolah-olah masih tidak berpuas hati dengannya.
Meski tidak memetik nama Jihan, pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, memaparkan video pendek hos terbabit bersama pengacara Haziq Hussni dalam sebuah program realiti.
“Biarlah lawak menyanyi berulang-ulang kalau dengan cara itu boleh menghiburkan.
“Daripada lawak ulang-ulang main nama bapa, memerli, membahan dan yang paling tak tahan lawak tahi lalat ‘chipsmore’ berulang dari musim pertama sampailah berpuluh musim.
“Inilah contoh hanya hiasan menutup bangkai di longkang. Penunggang 2024, sekian tajuk album. Lupakan aku dalam kepala otak kau boleh?,” katanya menerusi hantaran InstaStory.
Dalam masa sama, pelantun lagu Janji Kasih itu berdoa agar menjadi pengacara yang profesional tanpa ‘membahan’ orang lain.
“Moga Kepom (Elly) tidak menjadi pengacara seperti ini suka membahan dan memerli.
“Moga kasih sayang terus kekal dalam diri Kepom buat selamanya buat sesama insan.
“Haziq Hussni buat yang terbaik ya, lebarkan sayapmu,” ujarnya.
Berdasarkan pemerhatian Kosmo! Online, Elly turut menyimpan InstaStory tersebut dalam ruangan ‘highlight’ dengan tajuk Pengacara Sampah dan Penunggang 2024.
Menerusi video pendek yang dikongsikan, kelihatan Jihan dan Haziq menyanyikan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian asal Exists.
Namun, nyanyian terhenti selepas Jihan menegur Haziq selepas melihat gaya lelaki itu yang didakwa berlebih-lebih kononnya seperti orang dikenalinya.
“Kejap-kejap, aku ingat ada seorang sahaja macam ini tau dalam Astro.
“Ada seorang versi perempuan, aku tak tahu kau dah muncul dalam Astro,” tuturnya.
Sebelum ini, Elly pernah menarik diri daripada mengacarakan sebuah program realiti yang turut dikendalikan pelawak Jihan dan Nabil Ahmad.
Difahamkan, Elly berbuat demikian atas faktor peribadi tanpa memperincikan alasan pengunduran daripada pertandingan nyanyian tersebut. – KOSMO! ONLINE