PETALING JAYA – Dalam mendidik seseorang anak, ia bermula daripada sikap ibu itu sendiri sejak dalam fasa kehamilan lagi termasuklah tempoh tidur yang ideal bagi merangsang kecerdasan anak-anak.
Public Heath Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsian di Facebook memaklumkan, ibu mengandung memerlukan tempoh tidur berpanjangan sekurang-kurangnya tujuh jam sehari.
Dalam sebuah kajian yang dikongsikan PHM, tidur yang tidak cukup akan melambatkan proses perkembangan anak-anak.
“Kajian terbaru yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism mendapati ibu yang tidur kurang dari tujuh jam setiap malam berisiko tinggi melahirkan anak yang lambat berkembang dari segi sosial, emosi, dan percakapan.
“Ibu mengandung biasanya susah nak tidur kerana perubahan hormon, kerap ke tandas, atau rasa tidak selesa. Tetapi kajian ini memberi amaran bahawa tidur kurang dari tujuh jam boleh meningkatkan risiko masalah perkembangan pada anak,” kata PHM.
Selain itu, kata PHM, wanita yang mengalami Short Sleep Duration (SSD) juga berisiko mengalami diabetes sewaktu hamil, yang seterusnya boleh menjejaskan perkembangan otak anak dalam kandungan.
“Data kajian menunjukkan bahawa ibu yang tidur cukup mempunyai anak dengan perkembangan yang lebih baik, terutama dalam kemahiran sosial dan percakapan.
“Tidur yang mencukupi bukan hanya penting untuk kesihatan ibu, tetapi juga untuk perkembangan optimum anak dalam kandungan,” tegas PHM. – KOSMO! ONLINE