fbpx

Budak 12 tahun pecah rekod pelajar termuda ‘degree’ di UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izz Imil (tengah) bergambar bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (dua dari kanan) dan Noor Azuan (kiri).

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mencatat sejarah apabila menjadi pelajar termuda mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) sejak penubuhan institusi tersebut pada tahun 1962.

Izz Imil Shahrom yang mendaftar masuk ke UM pada semalam mendapat perhatian ramai selepas kisahnya tular di media sosial dan rata-rata warga maya berasa kagum dengan kepintaran serta kebijaksanaan kanak-kanak itu.

Difahamkan, Izz Imil pernah mengikuti pembelajaran tingkatan satu di Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia ketika berusia enam tahun, seterusnya belajar O Level ketika masih di usia lapan tahun dan melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level pada usia 11 tahun.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang itu.

Katanya, Izz Imil telah melalui proses temuduga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti dan diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian di UM.

Bagaimanpun, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk memberi ruang kepada Izz Imil dalam menyesuaikan diri sepanjang berada di universiti ke-60 terbaik dunia itu.

“Memandangkan usia Izz Imil yang begitu muda, pihak universiti memohon semua pihak untuk memberikan ruangdan privasi kepada pelajar tersebut melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri di universiti.

“Perkara ini penting bagi membolehkan beliau dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI