KUALA LUMPUR – “Rasa diri begitu mahal.”
Demikian kata pelakon popular Nora Danish apabila dia kini berlakon tanpa perlu bersentuhan dengan pelakon lelaki sejak berhijab sekitar Jun lalu.
Menurut Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42 dia bersyukur sejak memakai hijab tawaran lakonan yang diterima semunya bersesuai dengan imej sebagai muslimah.
“Saya masih berlakon, tetapi ada pantang larangnya sesuai dengan imej saya yang telah berhijab. Memang tidak berpegangan tangan.
“Seronok perasannya. Selama ini bagi mereka yang tahu perjalanan hidup saya, kalau berlakon tidak pegang-pegang itu bukanlah Nora Danish.
“Sekarang apabila berlakon tidak perlu sentuh-sentuh perasaannya berbeza, terasa diri kita begitu mahal. Termasuklah apabila saya keluar bertudung dan tidak perlu bersalaman dengan bukan muhrim rasa naiklah harga diri, rasa mahal,” tutur Nora.
Dalam pada itu, Nora menegaskan perkara paling sukar selepas berhijrah adalah istiqomah.
Namun, ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun bersyukur kerana dia dikelilingi oleh orang-orang yang baik.
Sementara itu, sejak bergelar ibu tunggal Nora mengakui ramai lelaki cuba mendekatinya, tetapi fokusnya kini adalah untuk mengenali diri sendiri dan lebih dekat dengan Allah.
“Buat masa sekarang memang saya tidak fikir lagi (soal mencari pasangan) sebab masih terlalu baru (bercerai).
“Lagipun saya dalam fasa ingin berhijrah dan fokus lebih ke arah itu. Tapi sejak berhijab memang ramai cuba mendekati daripada kalangan kawan-kawan termasuklah orang jauh. Cuma saya cakap, bukan sekarang,” kata Nora.
Terdahulu, Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – KOSMO! ONLINE