SEBERANG PERAI – Pelajar cemerlang yang bakal mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) tidak menyangka apabila terpilih sebagai penerima Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0 universiti itu.
Syaidinatul Firzanah Zul Hisham, 19, yang kematian bapa 15 tahun lalu berkata, beliau amat bersyukur susulan bantuan yang diterima dapat membantu meringankan beban keluarga terutama ibunya, ibunya Roslina Lazim,51.
“Sejak kecil lagi, saya bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di USM dan syukur, impian tercapai selepas mendapat tawaran untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Dalam Kimia Dengan Kepujian.
“Sejujurnya, bantuan yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban keluarga apatah lagi kami sumber kewangan utama bergantung kepada pencen arwah ayah sebanyak RM1,100 sebulan.
“Saya bersama ibu, kakak dan adik tinggal di rumah peninggalan nenek sejak ayah meninggal akibat sakit jantung,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Melintas Besar, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed ke rumahnya bagi menyerahkan surat tawaran bagi Siswa SULUNG 3.0 USM.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, program Siswa SULUNG mensasarkan generasi pertama dalam keluarga B40 yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Bagi Sidang Akademik 2024/2025, USM mensasarkan seramai 200 orang pelajar dalam kategori siswa SULUNG dan ini akan memenuhi kuota sasaran iaitu seramai 1000 orang pelajar.
“Mahasiswa akan menerima manfaat pengecualian yuran iaitu semua kategori yuran, yuran berulang dan yuran tidak berulang kecuali yuran penginapan dan kos sara hidup perlu ditanggung oleh pelajar sendiri.
“Setiap mahasisw akan mendapat bantuan berjumlah RM12,000 sepanjang tempoh pengajian,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE