PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei tetap bersemangat untuk turun ke gelanggang dengan kadar segera biarpun mengalami kecederaan ngeri hingga memerlukan 16 jahitan di tangannya.
Ee Wei mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca selepas dia tergelincir ketika memegang dumbel di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, Ee Wei memberi jaminan kecederaan itu tidak akan menjejaskan prestasinya kerana serpihan kaca tersebut hanya membabitkan tangan kiri, bukannya tangan kanan yang digunakannya untuk beraksi.
“Terima kasih semua atas keprihatinan dan kebimbangan anda. Saya kini dalam keadaan baik dan dalam proses pemulihan yang positif.
“Saya dijaga dengan baik oleh pasukan perubatan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih khas kepada ahli fisioterapi dan semua kakitangan sokongan yang membantu saya semasa kejadian.
“Saya akan kembali ke gelanggang tidak lama lagi. Tenang ya,” katanya selepas memuat naik status dalam InstaStory miliknya semalam.
Akibat kecederaan tersebut, Ee Wei dan pasangannya, Chen Tang Jie terpaksa berehat daripada menyertai sebarang kejohanan dalam tempoh terdekat.
Mereka kemungkinan besar terlepas dua kejohanan bulan depan iaitu Terbuka Arctic di Finland dan Terbuka Denmark.