PETALING JAYA – Seorang pemandu e-hailing meluahkan rasa bengang apabila lima warga asing ingin menaiki kenderaannya yang hanya boleh memuatkan empat penumpang.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial, warga asing itu cuba memujuk pemandu itu dengan berkata akan menambah bayaran sebanyak RM2.
Dengan perasaan bengang, pemandu e-hailing itu menjelaskan kesemua warga asing itu sepatutnya menempah kenderaan yang boleh memuatkan enam penumpang pada harga berbeza.
“Mana boleh, awak ‘book six seater’ lah. Kenapa awak mahu murah punya harga ke? Mana boleh, ini maksimum empat orang sahaja tau. Mahu tambah RM2 sahaja, kereta rosak RM2 apa boleh beli? Sekarang ‘you cancel’,” kata pemandu tersebut.
Sehingga kini videonya mendapat lebih 551,800 tontonan, 20,000 tanda suka dan 1,181 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, taktik ini bukanlah sesuatu yang baru malah sering digunakan oleh golongan warga asing untuk mendapatkan servis tersebut pada harga yang murah.
“Ni lah akal mereka, nak jimat konon tambah RM2. Bukannya tak tahu cara nak tempah ‘six seater’. Sengaja nak cuba nasib kot dapat,” komen Wan.
“Bukan pasal rosak tak rosak. Kalau kena dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), memang tak balik modal RM2 tu,” komen Fendy.
“Aku ‘driver’ e-hailing pun pernah kena. Siap cakap ‘you tambah RM1,000 atau nak batal tempah baru’. Benda ni memang kena tegas walaupun jaraknya dekat. Kalau jumpa polis atau JPJ, pemandu yang kena,” komen Mohamad Fazli. – KOSMO! ONLINE
@rzwntk #grabcar #grabproblem#ddpai ♬ original sound – Hello wan