JAKARTA – Sebuah video tular di Madura, wilayah Jawa Timur memaparkan detik tetamu yang hadir ke acara sambutan Maulidur Rasul menerima buah tangan yang unik, lapor saluran berita Detik News semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @madura.receh, tetamu dilihat duduk sambil berselawat.
Lebih menarik apabila setiap tetamu dihadiahkan sebuah kipas ‘berdiri’ yang diletakkan di hadapan mereka.
Acara itu berlangsung pada 16 September lalu.
Video berkenaan mencatatkan lebih 384,000 tontonan dan rata-rata, netizen kagum dengan cenderahati tersebut.
“Madura panas, sesuai bagi kipas sebagai cenderamata,” komen seorang netizen.
“Ini baru hadiah yang bermanfaat!” kata netizen lain. – AGENSI