DUA jaguh boling negara, Mohd. Rafiq Ismail dan Sin Li Jane menyasarkan untuk menamatkan tahun ini dengan prestasi cemerlang sebelum melangkah ke Piala Dunia yang bakal membuka tirai di Hong Kong pada 5 Januari 2025.
Sebelum ini, Li Jane yang berusia 31 tahun, merangkul empat gelaran Jelajah PWBA di Amerika Syarikat (AS) termasuk kemenangan bersejarah di Terbuka Wanita AS sekali gus menjadi pemain Asia pertama dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Jelajah.
Momentum kemenangan Li Jane diteruskan di Kejohanan Boling Asia (ATBC) di Bangkok, Thailand baru-baru ini apabila dia berjaya merangkul tiga pingat emas dalam all-event, perseorangan dan beregu selain satu perak berpasukan.
“Ini musim yang luar biasa, paling membanggakan sepanjang karier saya. Saya berharap dapat mengekalkan momentum ini dan mencapai lebih banyak kejayaan.
“Kemenangan ini sangat bermakna dan berharap lebih banyak kejayaan sebelum tahun ini berakhir,” katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Sementara itu, Rafiq yang mengalami minggu penuh emosi di ATBC berjaya merangkul emas perseorangan lelaki, trio, all-event dan Masters serta perak acara berpasukan.
Namun, di sebalik kejayaan itu, Rafiq diuji dengan berita bapanya dimasukkan ke hospital akibat masalah buah pinggang sewaktu kejohanan sedang berlangsung selain bekas Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr P. S. Nathan pula meninggal dunia.
“Ia adalah pertandingan yang penuh emosi. Saya gembira kami memberikan yang terbaik. Kemenangan ini adalah untuk ayah dan anak saya,” kata Rafiq.
Rafiq turut menyuarakan hasrat kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali kedua selepas penampilan pertamanya pada edisi Australia tidak membuahkan hasil selain berharap dapat menebus kekecewaan lalu.
Meskipun senarai lapan atlet yang akan mewakili Malaysia di Piala Dunia 2025 belum diumumkan, Rafiq berharap namanya tersenarai untuk menyarung jersi negara di kejohanan berprestij itu.