Pelakon legenda Dame Maggie Smith yang cukup dikenali menerusi karakter Professor Minerva McGonagall dalam francais filem Harry Potter meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Berita mendukacitakan itu diumumkan dua anak lelakinya Toby Stephens dan Chris Larkin menerusi satu kenyataan.
“Kami bersedih dengan pemergian Dame Maggie Smith. Mendiang menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di hospital awal pagi ini (waktu tempatan). Jumaat, 27 September.
“Mendiang seorang yang sangat menjaga batas privasi, keluarga dan rakan rapat berada di sisinya sehingga ke nafas terakhir.
Dua anaknya itu turut menitipkan penghargaan kepada semua individu terlibat dan menjaga mendiang ibunya sehingga nafas terakhir.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang hebat di Hospital Chelsea dan Westminster atas penjagaan serta kebaikan sehingga akhir hayatnya.
“Terima kasih atas sokongan baik anda dan meminta anda menghormati privasi kami pada masa ini,” katanya lagi.
Smith pernah memenangi trofi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Prime of Miss Jean Brodie pada tahun 1969 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk filem California Suite (1978).
Selain itu, mendiang juga popular menerusi drama fenomena, Downton Abbey yang melayakkannya memenangi tiga trofi Emmy Awards. – HIBGLAM