fbpx

PRK DUN MAHKOTA: Syed Hussein tunai tanggungjawab, seru pemilih cepat keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED HUSSEIN memasukkan kertas undi sempena Hari Mengundi bagi PRK Dun Mahkota di SMK Seri Perdana, Kluang hari ini. – Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Taman Suria di sini hari ini.

Syed Hussein, 40, tiba ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) kira-kira pada pukul 8.53 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawab kira-kira 10 minit.

“Alhamdulillah, saya selesai menjalankan tanggungjawab dengan mengundi pada pagi ini. Saya berharap semua berjalan lancar.

“Saya menyeru agar seluruh pengundi tidak kira di mana anda berada, keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.

“Masa masih panjang, jangan lupa untuk melunaskan tanggungjawab kepada negara, buatlah pilihan yang bijak untuk masa depan kita bersama,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

PRK DUN Mahkota melibatkan seramai 66,318 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussein mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon parti pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Allahyarham Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.

PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI