fbpx

PRK DUN MAHKOTA: Syed Hussein sebak, akan ziarah pusara bapa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai Pilihan Raya PRK DUN Mahkota, Norazurawati Wahid mengumumkan kemenangan calon BN, Syed Hussien di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

KLUANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu, Syed Hussein Syed Abdullah sebak sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) malam ini.

Syed Hussein, 40, berkata, beliau akan menziarahi pusara bapanya, Allahyarham Syed Abdullah Syed Abd Hamid yang meninggal dunia pada 10 September lalu, sehari selepas beliau diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Mahkota.

“Esok, perkara pertama saya akan ziarah, saya nak bagi tahu abah saya telah dedikasi dan buat terbaik untuk semua pasukan (jentera BN).

“Alhamdulillah, perasaan saya selepas diumumkan sebagai pemenang, begitulah hikmahnya apabila kita berkempen secara berkeluarga serta satu pasukan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus pengumuman Penjumlahan Undi Rasmi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Hussein menzahirkan ucapan terima kasih buat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, Pengarah Pilihan Raya yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, rakan pimpinan yang banyak membantu serta bertungkus-lumus bagi memastikan BN mengekalkan kerusi DUN Mahkota.

“Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada UMNO Bahagian Kluang, rakan-rakan pimpinan dan juga rakan gabungan Pakatan Harapan (PH)”katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz merakamkan penghargaan buat pengundi DUN Mahkota kerana telah memberi mandat kepada Syed Hussein untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Seperti yang dijanjikan selepas diberi mandat, esok saudara Syed Hussein akan terus bekerja masyarakat di luar sana,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI