JOHOR BAHRU – Peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini menunjukkan kadar yang masih rendah.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, satakat pukul 11 pagi, peratusan keluar mengundi merekodkan sebanyak 23.39 peratus.
Menurutnya, jumlah itu bagaimanapun menunjukkan sedikit peningkatan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Johor yang berlangsung dua tahun lalu iaitu 22.4 peratus
“Angka ini menunjukkan peningkatan yang baik, walaubagaimanapun kita masih mengharapkan orang ramai keluar mengundi awal kerana mengikut ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada sebelah petang akan berlaku hujan.
“Kita mengharapkan para pengundi keluar mengundi dan kita berharap peratus mengundi akan meningkat bagi meningkatkan demokrasi yang kita junjung ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Ramlan berkata, SPR menjangkakan sebanyak lebih 60 peratus pemilih keluar mengundi menjelang kesemua 20 PDM ditutup pada pukul 6 petang nanti.
“Kita menjangkakan lebih 60 peratus keluar mengundi kalau kita tengok kadar peratus pengundian lepas merekodkan 57 peratus, insha-Allah kita mendoakan seramai mungkin akan turun,”katanya.
SPR juga menjangkakan keputusan PRK DUN Mahkota akan diperolehi kira-kira 9 malam ini selepas kesemua 109 peti undi selesai dikira.
“Sebab di Kluang ini logistiknya agak mudah dan tempat-tempat mengundi adalah berhampiran dengan pusat penjumlahan undi jadi kita jangkakan pukul 9 malam,”katanya.
Pusat Penjumlahan Undi Rasmi akan berlangsung di Dewan Tunku Ismail Ibrahim di sini.-KOSMO! ONLINE