fbpx

PRK DUN MAHKOTA: Pengundi pelbagai bangsa teruja pertama kali mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNDI muda pelbagai bangsa, dari kanan Dr. M. Cholavarma, Shan Meng dan Muhammad Zakwan selesai mengundi sempena Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Kluang hari ini. – Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

KLUANG – Seorang pelajar sebuah kolej di sini menzahirkan rasa teruja dan gementar apabila kali pertama turut serta mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.

Muhammad Zakwan Danial, 18, yang tinggal di Kampung Palembang Lama berkata, dia membuat rujukan dengan melihat cara dan proses mengundi di laman sosial malam tadi.

“Ini kali pertama saya datang mengundi, perasaannya sedikit gementar sebab takut ada buat kesilapan ke apa.

“Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan ada PRK bulan lepas, saya terus buat semakan dan nama saya layak untuk mengundi, memang dapat rasa aura rasa teruja.

“Saya selepas selesai solat subuh terus bersiap-siap untuk datang ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana pukul 7.30 dan beratur seawal pagi untuk jadi antara pengundi terawal,”katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi pengundi kali pertama, Soh Shan Meng, 22, turut rasa bertuah apabila menjadi antara 66,318 pengundi di PRK DUN Mahkota kali ini.

Ujarnya, dia menerima dorongan daripada ahli keluarga supaya keluar membuang undi hari ini memandang tidak berkesempatan untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dua tahun lalu.

“Sebenarnya dua tahun lepas semasa PRN tahun 2022 saya layak mengundi tetapi tidak sempat sebab sibuk dengan pengajian,”katanya.

Dalam pada itu, seorang pegawai perubatan, Dr. M. Cholarma, 28, mengambil kesempatan pada hari cuti bekerja hari ini keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat.

Jelasnya yang bertugas di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini mengajak pengundi berdaftar dan yang layak untuk sama-sama keluar ketika cuaca baik pada sebelah pagi.

“Ayuh sama-sama kita keluar mengundi tunai tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat untuk mewakili suara kita orang muda.

“Buatlah pilihan yang bijak dan wakil rakyat yang boleh buat kerja sekaligus dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan orang muda di DUN Mahkota,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI