fbpx

Penyelia kilang rugi lebih RM1 juta ditipu perniagaan dalam TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Kumar

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia kilang wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta setelah terpedaya dengan sindiket penipuan melibatkan perniagaan yang diiklankan di laman sosial TikTok.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa yang berusia 47 tahun itu mendakwa dia mengetahui mengenai perniagaan itu selepas mengenali seorang individu di aplikasi Line, Julai lalu.

Menurut beliau, perniagaan itu menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa singkat, namun mangsa perlu mendahulukan wang pembelian barangan ditempah pelanggan.

“Penghujung Julai lalu, mangsa membuat pembayaran pertama seperti diarah seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai operator TikTok dan menerima keuntungan sebanyak 50 peratus daripada jumlah dilaburkan.

“Setelah mempercayai perniagaan itu, mangsa mula membuat pelaburan lebih besar dengan melakukan beberapa transaksi berjumlah keseluruhan RM1,041,100 antara Julai hingga September ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kumar, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah keuntungan dijanjikan tidak diterima, selain cubaan berhubung dengan individu terlibat dalam perniagaan itu gagal.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam. Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, kita menasihatkan agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI