KUALA LUMPUR – Pelakon Sophia Albarakbah menyifatkan hero gandingan untuk filem Reeza GTR iaitu penyanyi Alif Satar sebagai profesional dan tidak bersifat miang.
Menurut Sophia, 31, sifat sebegitu dilihat sangat bagus kerana Alif merupakan seorang pelakon yang sangat profesional di set penggambaran.
“Ya betul, saya setuju dan lega kerana Alif seorang pelakon yang sangat profesional serta ada aura yang positif.
“Semua orang yang berlakon dengan dia pasti akan rasa aura positif itu. Alif juga tidak terlalu ‘try hard’ untuk menghidupkan karakternya, semuanya berlaku secara semula jadi,” katanya kepada Kosmo! Online selepas tayangan gala filem Reeza GTR di sini, semalam.
Sophia juga mengakui seronok bekerja dengan Aliff dan tidak menolak sebarang peluang bekerjasama lagi pada masa akan datang
Ketika ditanya pengalaman bekerjasama bersama Alif yang berstatus suami orang, Sophia memberitahu, akan mencuba sedaya upaya untuk menjaga nama baik kedua belah pihak.
“Bila berlakon dengan pelakon lain jantina, sudah tentu saya nak jaga nama baik mereka juga.
“Kelakuan dalam filem seperti pegang-pegang sikit itu hanyalah untuk menjayakan watak.
“Bila keluar dari set penggambaran, kami akan buat hal masing-masing. Tidak lebih-lebih pun,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berkata para peminat penyanyi itu juga tidak perlu berasa marah sekiranya menonton filem tersebut kerana tiada adegan bersama Alif yang boleh mencetuskan kontroversi.
“Saya tak rasa peminat Alif akan marah melihat ‘scene’ bersama saya di dalam filem ini kerana cerita ini ‘cute’ sangat.”
“Tambahan pula, percintaan Myra dan Reeza dalam filem ini tiada adegan yang akan membuatkan orang marah bila menontonnya,” katanya lagi.
Selain Sophia dan Alif, filem terbaharu arahan pengarah tersohor, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu turut dibintangi Nelissa Nizam, Datuk Eizlan Yusof dan Noki K-Clique.
Filem kerjasama Grand Brilliance dan Primeworks itu akan ditayangkan diseluruh pawagam seluruh negara bermula 17 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE