fbpx

Ops Gegar: Selempang tip cecah RM100,000, ratusan GRO ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohammed Saupee (berdiri, kiri) ketika operasi di pusat hiburan sekitar Jalan Loke Yew malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pusat hiburan menawarkan tip bermula RM100 hingga RM100,000 berdasarkan selempang tip pelbagai warna yang ditemui menerusi serbuan Ops Gegar di premis yang berada di dalam pusat beli-belah Jalan Loke Yew, di sini, malam tadi.

Hasil tinjauan Kosmo! ketika operasi yang bermula pukul 11.45 malam tadi mendapati, setiap selempang tertera dengan jumlah tip yang diberikan kepada gadis pelayan pelanggan (GRO).

Pusat hiburan yang baru sahaja beroperasi selama dua bulan itu menawarkan tip bernilai RM100, RM300, RM500, RM1,000; RM5,000; RM10,000 dan paling tinggi adalah RM100,000.

Dalam serbuan itu, ratusan wanita warga asing dipercayai GRO ditahan ketika ‘sibuk’ melayan pelanggan sebelum suasana bertukar kecoh apabila ada antara mereka cuba lari dari ditangkap pihak Jabatan Imigresen (JIM).

Pelbagai helah dilakukan wanita asing ini antaranya dengan bersembunyi di bawah meja, almari, di dalam laluan-laluan sempit bahkan ada yang sanggup menyorok di bawah pentas yang gelap.

Lebih kurang 10 wanita bersama seorang lelaki Bangladesh didapati bersembunyi di dalam sebuah stor kecil yang berkunci selama hampir satu jam operasi dijalankan.

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, serbuan itu dijalankan susulan aduan awam yang kurang senang dengan aktiviti hiburan sehingga mengganggu keselesaan masyarakat.

Katanya, seramai 136 wanita warga asing ditahan kerana disyaki bekerja sebagai GRO di premis berkenaan.

“Kelab ini baru sahaja dibuka, kita percaya mereka baru beroperasi dua bulan malah masih menjalani kerja ubah suai ekoran beberapa bilik yang masih dalam proses pembinaan dipercayai untuk dijadikan KTV (karaoke).

“Antara wanita yang ditahan ada menggunakan Pas Pasangan tetapi bila ditanya mana suami, mereka tidak boleh jawab.

“Di sini, setiap kalung (selempang) itu ada harga, kami juga tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti seksual selain peneman minum,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi, di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, secara keseluruhannya seramai 350 individu diperiksa dalam serbuan berkenaan terdiri daripada pengunjung, penyelia, pekerja warga asing dan tempatan.

Katanya, kesemua individu berusia lingkungan 21 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1969/63.

Warga asing ditahan terdiri daripada satu lelaki dan 113 wanita warga Thailand, wanita Vietnam (12), wanita Laos (1), wanita Filipina (1) dan lelaki Bangladesh (27).

Turut hadir menyertai operasi iaitu sekumpulan pegawai daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai pemerhati.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI