fbpx

LTdL 2024: Zawawi harap dapat naik podium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelumba Malaysia Pro Cycling, Muhammad Zawawi Azman fokus memburu gelaran podium pada saingan LTdL 2024 kali ini.

LANGKAWI – Pelumba berpengalaman yang mewakili Malaysia Pro Cycling Team (MPC), Muhammad Zawawi Azman meletakkan sasaran podium pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini.

Menurut Zawawi, peluang mewakili MPC turut membuka semula kariernya ke landasan yang tepat selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan pada tahun lalu.

“Sudah semestinya sebagai salah seorang pelumba tempatan, lebih-lebih lagi beraksi di negara kita sendiri, saya mahu memburu penamat podium pada perlumbaan LTdL tahun ini. 

“Tidak kira menang mana-mana peringkat perlumbaan atau kategori pelumba terbaik Malaysia atau Asia, saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada,” kata pelumba berusia 30 tahun itu,

Mengulas lanjut, Zawawi optimis rakan-rakan sepasukannya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi Peringkat 1 di Langkawi dengan menjadikan Tour Salalah di Oman sebagai medan penanda aras.

“Buat masa ini, segala persiapan kami bagi menghadapi LTdL berjalan dengan cukup baik. Malah, kami sudah mengharungi kira-kira empat kejohanan tahun ini dan terbaharu di Oman.

“Sebelum itu, kami juga beraksi pada Tour de Ijen di Indonesia pada Julai lalu selain perlumbaan Tour Trans-Himalaya dan Tour of Hainan di China penghujung bulan lalu.

“Saya dapat rasakan itu akan menjadi antara persiapan terbaik kami menjelang LTdL. Saya harap kami dapat mengekalkan momentum positif dalam beberapa perlumbaan di luar negara itu pada LTdL tahun ini.

“Apa yang saya lihat, pasukan kami mempunyai kombinasi pelumba yang baik. Setiap pelumba sudah tahu peranan masing-masing, jadi itu akan memudahkan tugas kami nanti,” katanya.

Selain Zawawi, lima lagi pelumba yang akan menggalas cabaran MPC pada LTdL kali ini adalah Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Muhammad Fahmi Khairul, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Muhammad Syawal Mazlin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI