PETALING JAYA – Seorang penghantar barang terpinga-pinga apabila dimarahi oleh suami salah seorang pelanggannya gara-gara menghantar barang ketika si isteri berseorangan di rumah.
Perkara itu dikongsikan penghantar barang tersebut, Wan Muzaidey menerusi Facebooknya. Dia turut berkongsi tangkap layar perbualan di WhatsApp itu.
Di dalam perbualan itu, suami pelanggannya memberikan amaran untuk tidak menghantar barang jika isterinya berseorangan di rumah kerana dikhuatiri mengundang fitnah.
“Dengar ni, aku suami dia. Lepas ni kalau nak hantar barang ke apa pastikan masa tu aku ada. Sebab nanti akan mengundang fitnah.
“Aku dah cakap dengan isteri aku, aku tak izinkan siapa-siapa yang hantar barang tanpa aku tak ada. Jadi kalau kau nak hantar barang lepas ni pastikan aku ada sebab aku suami dia,” ujar suami pelanggan itu.
Susulan itu, penghantar barangan tersebut menjelaskan itu adalah tugas hariannya tanpa melebihi batas kerja.
“Aku ni hantar barang je, tak ada kena mengena dengan isteri kau atau isteri sesiapa pun. Kalau tak nak hantar barang, minta isteri abang jangan pesan melalui syarikat kurier kami lagi. Terima kasih,” balasnya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam suami lelaki tersebut yang dikatakan cemburu tidak bertempat.
“Mak aih, suami jenis macam ni pun ada. Parah dah ni, bukannya hantar barang sampai dalam rumah,” komen Siti.
“Kalau abang tak nak barang dihantar masa abang tak ada, abang pesan dekat penghantar letak sahaja kat hujung simpang,” komen Afizi.
“Itu kerja dialah bang. Bukan rumah abang je dia hantar. Berpuluh rumah satu hari,” komen Hasyim pula. – KOSMO! ONLINE