fbpx

Harimau Malaya perlu bantuan kedutaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BROWNHILL (depan) dan Flemming (belakang) didakwa semakin hampir untuk menjadi pemain warisan Harimau Malaya. - BURNLEY FC

PENCARIAN pemain warisan di luar negara akan lebih sempurna sekiranya semua agensi termasuk pihak kedutaan menghulurkan bantuan bagi mengenalpasti keturunan Malaysia yang menetap ataupun berstatus penduduk tetap di negara asing.

Usaha mendapatkan pemain berkelas tinggi seperti Dion Cools tidak hanya tertumpu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mungkin berdepan kekangan data berkaitan waris dan hubung kait rakyat Malaysia dengan mana-mana individu warganegara luar.

Harimau Malaya tidak boleh sekadar mendapat calon tangkap muat yang berisiko memberi impak negatif kepada persembahan pasukan pada masa akan datang.

Pengumuman peruntukan RM15 juta buat Harimau Malaya seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga membuktikan komitmen kerajaan untuk melihat peningkatan pasukan negara di pentas antarabangsa.

Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah berpendapat Harimau Malaya hanya perlu mendapatkan pemain terbaik dan pemilihan khidmat naturalisasi tidak boleh dibuat semberono.

“Bagus jika pemain itu benar-benar ada kualiti yang boleh beri impak kepada pasukan kebangsaan. Antara cara yang kita boleh buat adalah minta bantuan daripada pihak kedutaan.

“Kenapa saya kata kedutaan? Mereka pasti ada data ‘orang kita’ dan secara tidak langsung kita ada senarai mereka yang bermain bola sepak. Contohnya menerusi kehadiran rakyat kita kalau ada apa-apa majlis di kedutaan.

“Selepas dapat data dan calon bermain bola sepak, kita boleh tapis siapa yang terbaik untuk sarung jersi Harimau Malaya. Jadi itulah salah satu cara boleh kita guna pakai,” katanya.

Kapten kelab Belanda, Go Ahead Eagles, Mats Deijl mengesahkan sedang melalui proses mendapatkan pasport Malaysia, malah dua pemain Burnley, Josh Brownhill dan Zian Flemming juga dilaporkan berada dalam fasa sama.

“Hampir semua negara melakukan budaya pemain warisan, sesuai dengan aturan dibenarkan oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan terbaharu Vietnam. Kalau mahu kekal dengan pemain tempatan, kita wajib ubah kiblat budaya kepada Jepun dan Korea.

“Struktur semula akar umbi dan minimum 10 ke 15 tahun untuk capai sasaran ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik,” katanya.

Jika berjaya direalisasikan, ketiga-tiga pemain itu dijangka boleh menyarung jersi negara pada November ini atau selewat-lewatnya Disember nanti.

Apa yang dilakukan oleh Indonesia sebenarnya wajar ditiru apabila skuad Garuda kini dibarisi ramai pemain berkualiti hingga menyaksikan mereka mula menyerlah di pentas antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN