MIRI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan dasar yang lebih adil dan prihatin dengan mengambil kira keperluan serta situasi bagi setiap negeri.
Beliau berkata, ia khususnya dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di setiap negeri agar tidak jauh ketinggalan, bukan sahaja melibatkan Sarawak tetapi juga Semenanjung.
“Contohnya kota besar di Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan kawasan pedalaman di Kelantan atau Kedah, itu perubahan yang sangat besar. Jadi harus ada pendekatan lebih adil, sampai mana kita cuba dekatkan termasuk juga di Sarawak,” katanya pada Program Madani Rakyat Sarawakku Sayang di sini hari ini.
Menjelaskan mengenai penyasaran diesel, Anwar berkata, pengecualian ke atas Sarawak dan Sabah dibuat atas faktor keperluan rakyat khususnya di kawasan pedalaman kedua-dua negeri itu.
“Sebab itu bila kita buat penyasaran diesel, seluruh Semenanjung terkesan tapi kita kecualikan Sabah dan Sarawak kerana permasalahan khusus orang-orang yang menggunakan kenderaan diesel di situ,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, penyerahan kuasa dan hak kepada Sarawak dan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga dibuat atas dasar tanggungjawabnya untuk menunaikan apa yang sudah dijanjikan.
“Yang perlu kita laksanakan, laksanakan. Takkan berpuluh tahun runding sana, runding sini, bincang sana, bincang sini, tak habis-habis dan Alhamdulillah, 11 perkara tambahan itu kita luluskan dalam setahun setengah yang lalu.
“Tapi ada orang persoalkan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak, kenapa pelabuhan Pulau Pinang tidak serah kepada kerajaan negeri. Jadi saya jawab, baca MA63 kerana janji itu khusus bagi Sarawak dan Sabah, tidak untuk Pulau Pinang atau Johor,” katanya.
Anwar berkata, bagi merealisasikan komitmen itu, pimpinan politik persekutuan dan negeri, termasuk penjawat awam dan golongan pekerja swasta harus bekerjasama, namun cabaran dihadapi kini adalah suhu panas politik di Semenanjung yang tidak menguntungkan. – KOSMO! ONLINE