HULU SELANGOR – Bau busuk dari rumah jiran membawa kepada penemuan mayat seorang wanita warga asing di Kampung Sungai Choh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar pukul 1.05 petang semalam daripada seorang jiran.
Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota bergegas ke lokasi untuk tindakan selanjutnya.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati, mangsa (si mati) seorang wanita warga asing telah ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya petang semalam.
“Mangsa berusia 48 tahun dipercayai suri rumah serta tidak bekerja itu tinggal seorang diri di rumah sewa.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat komplikasi penyakit sakit jantung, kanser dan kencing manis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa tinggal bersendirian setelah kematian suami sejak lapan bulan yang lalu.
Katanya, mayat wanita itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
“Polis sedang menunggu hasil laporan bedah siasat dari forensik hospital untuk mengetahui punca kematiannya.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.