fbpx

Banjir Kedah: Lebih 26 rumah di Kuala Nerang dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan Kampung Jelutong, Kuala Nerang yang turut dilanda banjir kilat. -Foto oleh SHAHIR NOORDIN

KUALA NERANG – Sekurang-kurangnya 26 rumah di tiga kampung di sini dilanda banjir kilat sejak malam tadi.

Antara kampung terjejas adalah Kampung Pisang, Kampung Tanjung Kiri dan Kampung Tanjung Kanan.

Difahamkan, beberapa lokasi mula dinaiki air pagi ini antaranya Kampung Mani dan Kampung Jelutong.

Kejadian banjir berlaku akibat hujan lebat selama lebih dua jam sejak kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya membantu memindahkan 21 penduduk di Kampung Tanjung Kanan yang berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat itu.

“Kesemua penduduk terperangkap selepas jalan keluar dinaiki air dengan cepat. Operasi menyelamat menggunakan sebuah bot dan mangsa dipindahkan sementara ke Masjid Kampung Tanjung Kanan.

“Operasi turut dibantu polis daerah Padang Terap serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Padang Terap yang dilakukan sejak malam tadi sehingga kira-kira pukul 3 pagi ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, seramai 48 mangsa terdiri daripada 14 keluarga di Kampung Pisang dan Kampung Tanjung Kiri yang terjejas telah ditempatkan sementara di Masjid Kampung Tanjung Kiri.

“Bagaimanapun, penempatan itu telah ditutup sepenuhnya pada pukul 1 pagi tadi setelah banjir surut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI