LONDON – Manchester City kini memasuki perlawanan dengan tekad untuk mempertahankan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selain berhasrat meneruskan rekod cemerlang tanpa kalah meskipun tanpa kehadiran bintang utama, Rodri.
Pengurus City, Pep Guardiola menegaskan kecederaan Rodri langsung tidak akan menggugat aksi menentang Newcastle United di St. James Park malam ini dalam usaha memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kali kelima berturut-turut.
Rodri yang menjadi tunjang utama City dengan 50 penampilan musim lalu, mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) kanan ketika seri 2-2 dengan Arsenal minggu lalu.
Kecederaan itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan City untuk terus cemerlang apabila statistik menunjukkan kadar kemenangan City merosot daripada 76 peratus kepada 55.6 peratus dalam sembilan perlawanan tanpa Rodri musim lalu.
Bagaimanapun, Guardiola meluahkan keyakinan menghadapi situasi tersebut kerana pernah berpengalaman hilang dua bintang utama, Erling Haaland dan Kevin De Bruye musim lalu tetapi masih berupaya menjuarai EPL buat kali keempat berturut-turut.
“Kami mempunyai pasukan perubatan terbaik dan telah berdepan situasi sama sebelum ini. Kami hilang Haaland tiga bulan dan De Bruyne lima bulan musim lalu, namun kami tetap memenangi EPL di tengah pelbagai cabaran.
“Ini sebahagian daripada bola sepak dan cabaran yang bagus untuk pasukan. Kami akan ke Newcastle dengan misi untuk memenangi perlawanan dan sebagai pengurus, saya akan fikirkan cara untuk terus memperbaiki pasukan,” jelas Guardiola.
Haaland yang telah menjaringkan 10 gol dalam lima perlawanan EPL musim ini, menjadi pemain paling awal dalam sejarah liga yang mencapai dua angka gol dalam kempen seawal ini.
Penyerang Norway itu berpeluang menjadi pemain kedua dalam sejarah EPL menjaringkan gol dalam enam perlawanan pertama pasukan untuk satu musim selepas Sergio Aguero melakukannya pada musim 2019/2020. – AGENSI