PETALING JAYA – Lima anggota pengawal peribadi yang mengiringi pelakon Nur Fazura ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Shah Alam Rabu lalu bukan bertujuan untuk menghalang pelakon itu daripada didekati suaminya, Fattah Amin.
Jelas individu dikenali sebagai Shahaszrin Mohd. Sabiruddin yang juga merupakan pengawal peribadi Fazura, pihaknya tidak menerima sebarang arahan melarang Fattah daripada mendekati isterinya.
“Tahu dari mana? Sumber mana yang bagi tahu bodyguard (pengawal peribadi) tak bagi Fattah datang dekat?
“Sumber mana yang beritahu bodyguard ada disebabkan ada Fattah di lokasi yang sama?
“Sumber mana yang bagi tahu bodyguard ada sebab nak halang Fattah? Kau jangan main tulis ikut sedap kau,” katanya di ruangan komen dalam satu hantaran Instagram.
Shahaszrin memberi reaksi tersebut bagi membalas kenyataan netizen yang mendakwa kehadiran pengawal peribadi itu bertujuan untuk melarang Fattah daripada mendekati Fazura.
Komen berkenaan bagaimanapun dipercayai telah dipadam oleh pengguna media sosial terbabit.
“Janganlah melampau. Tak ada satu arahan pun yang suruh kami buat macam itu. Kami pun buat kerja kami.
“Tolong jangan memandai. Komen pun dia sudah delete (padam). Nampak sangat komen main ikut sedap saja,” katanya.
Sebelum ini Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, tidak bersetuju melepaskan Fazura kerana mengakui masih menyayangi isterinya itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan bagi perbicaraan selanjutnya.
Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di mahkamah sama.
Fattah bagaiamanapun mengakui terkejut menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. – KOSMO! ONLINE