PETALING JAYA – Pengguna di media sosial sekali lagi meluahkan kritikan terhadap keindahan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson yang dicemari dengan khemah-khemah berwarna biru dipercayai dipacak secara haram.
Menerusi beberapa video dan gambar tular di aplikasi X, khemah-khemah berwarna biru itu dipacak sederet sepanjang pantai tersebut oleh mereka yang melakukan perniagaan sewaan kepada orang awam.
Hasil tinjauan Kosmo! di akaun Facebook, harga sewaan khemah tersebut bermula daripada RM70 sehingga RM240 bergantung kepada pakej tambahan seperti kerusi dan ‘plug point’.
Hal itu dibangkitkan warga media sosial kerana menganggap pemandangan pantai yang popular di Port Dickson itu sepatutnya dinikmati dan bukannya dihalang oleh deretan manusia yang berkhemah di lokasi tersebut.
“Kenapa pergi pantai negeri lain tak ada pun pacak khemah biru segala ni buat sewa dan memburukkan keindahan pantai tapi di Port Dickson ada? Pasar malam pun lagi cantik,” ciap Khairul.
“Pengunjung datang nak tengok pemandangan pantai, bukan khemah bersepah sepanjang pesisir yang menutup keindahan pantai dari pemandangan umum. Peniaga khemah yang tak bertanggungjawab,” komen Rosmaini.
“Orang datang jauh-jauh nak ‘healing’ tengok pantai tapi yang nampak hanya khemah biru sahaja. Buruk, tak berbaloi datang. Tempat awam tapi dia buat macam tanah persendirian,” komen Nur Alia pula.
Sementara itu, ramai pengguna khususnya penduduk di Port Dickson menggesa pihak berkuasa untuk memansuhkan terus pemasangan khemah di sepanjang pantai itu agar dapat menarik kembali minat pelancong.
“Minta jasa baik pihak berkuasa tengokkan isu ini. Mansuhkan terus penggunaan khemah haram ini. Pantai tu bukan mereka punya. Pemandangan jadi tak cantik, tempat jadi sempit. Berebut tapak jadi gaduh,” komen Nur Karim.
“Berzaman dah kes ni, warga Port Dickson pun ramai dah buat laporan. Hari tu pihak berkuasa pernah rampas khemah, ni ada lagi. Mungkin kena lebih tegas lagi lepas ni,” komen Bang Mar pula.
Sebelum ini Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) diarahkan agar menguatkuasakan larangan aktiviti berkhemah di tiga kawasan pantai di Port Dickson selepas ia menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengunjung hanya dibenarkan menggunakan tikar atau seumpamanya sekiranya beriadah serta berkelah di tiga kawasan pantai berkenaan iaitu di Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri. – KOSMO! ONLINE
Pantai teluk khemah
Kredit video owner pic.twitter.com/u3YFYA1XD4
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) September 25, 2024