PETALING JAYA – Pihak berkuasa telah mengesahkan lesen memandu digital yang dikeluarkan di Malaysia kini boleh digunakan di Thailand.
Menerusi sebuah perkongsian di platform X, seorang pegawai polis Thailand menyatakan jika orang Malaysia yang bercuti ke Thailand memandu kenderaan Malaysia atau motosikal harus memiliki lesen memandu sama ada dalam bentuk fizikal atau digital.
“Di Malaysia kini, orang ramai menggunakan lesen memandu digital kerana jenis kad tidak lagi digunakan. Jika memandu kenderaan Malaysia atau motosikal, lesen memandu jenis kad atau digital ini mesti ada,” katanya.
Jelasnya lagi, jika orang ramai bimbang lesen digital tersebut tidak diterima oleh polis Thailand, dia menasihati mereka untuk mendapatkan lesen digital yang dicetak daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Saya telah bertanya kepada beberapa polis trafik di Thailand dan mereka mengatakan sekurang-kurangnya ada lesen digital atau kad dalam bahasa Melayu kerana bahasa dia rumi dan Inggeris,” katanya.
Sementara itu, dia turut menegaskan untuk membawa lesen memandu digital di dalam telefon bimbit juga lebih baik daripada tidak mempunyai apa-apa lesen memandu. – KOSMO! ONLINE.