PETALING JAYA – Seorang ibu meluahkan rasa sedih kerana dituduh membuat kerja sekolah gara-gara anaknya mempunyai tulisan cantik dan kemas.
Menerusi video yang dimuat naik @azzura.empire di TikTok, wanita itu memuat naik tangkap layar perbualan di antara guru berkenaan bersama ibu bapa di dalam kumpulan WhatsApp.
Dalam perbualan itu, guru itu membuat teguran kerana menyangka kerja rumah murid itu dilakukan oleh ibu bapa kerana tulisan yang begitu kemas.
“Kepada ibu bapa, minta jangan tolong anak buat kerja rumah. Semua cikgu bukan tak reti bezakan antara tulisan murid dan ibu bapa. Saya akan suruh murid sapu dan buat semula,” tegur guru tersebut.
Susulan itu, ibu murid tersebut menjawab, bahawa kerja sekolah dalam bahasa Mandarin itu dibuat sendiri oleh anaknya dan dirinya hanya memantau sahaja agar kelihatan cantik dan kemas.
“Sumpah bukan saya (ibu) yang buat cikgu. Saya nak menulis Bahasa Cina memang tak pandai langsung. Nak tulis ejaan untuk dia pun tulisan saya lagi teruk daripada dia.
“Anak saya sendiri yang tulis, saya cuma pantau sahaja. Saya suruh dia buat tulisan bagi kemas. Tak kemas dan cantik saya suruh padam balik,” jawabnya kepada guru terbabit.
Sementara itu, wanita itu turut meluahkan rasa sedih kerana menganggap dirinya sudah melakukan sehabis baik buat anaknya walaupun merupakan seorang ibu tunggal.
“Kalau tulisan kemas kena marah, tulis kemas kata pula ibu bapa yang buatkan dan tuliskan kerja sekolah. ‘Anxiety’ lah macam ni. Aku ibu tunggal yang dah berusaha sehabis baik untuk anak-anak tanpa harap bantuan orang lain. Tapi kena tuduh macam ni.
“Normal ke perasan saya? Sekarang kalau cikgu WhatsApp pun, walau buat teguran pada ibu bapa lain, saya tetap rasa ‘anxiety’,” tulisnya di dalam video tersebut.
Sehingga kini videonya mendapat lebih 536,100 tontonan, 10,900 tanda suka dan 863 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang berkongsi pernah berdepan dengan situasi yang sama sekali gus mendoakan agar ibu tersebut cekal menghadapi situasi tersebut.
“Anak saya pernah kena macam ni. Saya pergi sekolah jumpa pengetua dan minta anak saya tulis depan pengetua dan cikgu tu. Lepas tu minta maaf dekat dalam WhatsApp. Tahun seterusnya terus tukar sekolah anak,” komen Joyah.
“Amboi begini ke bahasa seorang cikgu. Pendapat saya, guru pun tak perlulah kasar sangat bahasanya. Kalau betul nak tegur dalam ‘group’, jangan ‘mention’ sesiapa. Kita masing-masing ada aib dan khilaf,” komen Nelliana pula. – KOSMO! ONLINE