fbpx

‘Tiba masanya kami disatukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar dimuat naik Mohd. Fikry di akaun Facebooknya hari ini.

PETALING JAYA – Hari ini merupakan hari terakhir bapa kepada Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, bayi lapan bulan yang maut selepas didera pengasuh bertugas di Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, berkata selepas ini beliau akan meneruskan tugasnya di Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) Chemical Biological Radiological Nuclear and Explosive (CBRNe), Melaka.

Susulan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua individu terlibat yang banyak membantu dirinya selama berkhidmat 14 tahun di Kem Perdana, Sungai Besi.

“Bertemu dan berpisah, adat manusia biasa. Jutaan terima kasih kepada semua pegawai kanan dan rakan seperjuangan yang banyak membantu sepanjang saya di sini. InshaAllah kita akan berjumpa lagi di lain masa,” tulisnya.

Dalam pada itu, Mohd. Fikry berkata hari ini juga genap tiga minggu anak lelaki sulungnya itu meninggalkannya sejak 6 September lalu.

Beliau turut menyifatkan cabaran yang dihadapi selama hidup berjauhan dengan keluarga merupakan satu pengorbanan dan bukti taat setia kepada negara.

“Hari ini genap tiga minggu Al Fateh meninggalkan ‘daddy’ dan ‘mommy’. Memang perit hidup berjauhan. Tiba masanya kami disatukan.

“Begitulah nilai sebuah pengorbanan yang perlu dibayar sebagai tanda taat setia kepada negara.

“Demi meneruskan kehidupan, daddy dan mommy akan terus tabah dan reda dengan perancangan Allah. Al Fateh tunggu daddy dan mommy di syurga ya,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan mempertimbangkan permohonan Mohd. Fikry berhubung perubahan penempatan tugasnya dari RAJD Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Kem Sungai Udang, Melaka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementerian prihatin dengan situasi sukar sedang dialami keluarga itu yang memerlukan mereka berada berdekatan memandangkan si suami berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, manakala si isteri seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning.

Terdahulu, Kosmo! pada 6 September lalu melaporkan Muhammad Al Fateh meninggal dunia dipercayai akibat perbuatan seorang pengasuh wanita di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.

Al Fateh didakwa telah dibedung, disumbat dengan botol susu sebelum ditekup mengggunakan bantal oleh pengasuhnya yang berusia 34 tahun.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Mohd. Fikry yang melihat kejadian tidak berhati perut itu dilakukan suspek melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI