fbpx

Selepas 20 tahun PGL, Tiara dedah pernah ‘kurung’ Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Untuk rekod, filem Puteri Gunung Ledang ditayangkan di pawagam pada 31 Ogos 2004 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-47 dan memperoleh kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM2.9 juta.

PETALING JAYA – Setelah 20 tahun filem epik cinta Puteri Gunung Ledang (PGL) ditayangkan, aktres serta penerbit tersohor, Puan Sri Tiara Jacquelina dalam siri podcast ‘Legasi’ mendedahkan ‘kekejaman’ dilakukannya demi menghidupkan kisah lagenda Melayu itu.

Kongsinya, impian untuk menghasilkan filem tersebut tercetus selepas membaca skrip PGL yang dihasilkan oleh pengarah serta pelakon prolifik, Allahyarham Mamat Khalid bagi siri televisyen yang mengetengahkan cerita rakyat dan kisah lagenda Melayu pada awal 90-an.

“Masa tu Mamat menulis skrip untuk rancangan siri televisyen seperti Pak Pandir, kisah-kisah dongeng lama yang memang kita kaya dan orang lain tak ada, sampailah dia menghasilkan skrip untuk PGL.

“Saya rasa rugi kalau skrip tu dijadikan siri televisyen sahaja dan saya simpan sampailah balik daripada terlibat dalam filem Beyond Ranggon dan terbaca semula naskhah PGL berkenaan, tetapi penulisan itu untuk versi siri televisyen sahaja.

“Jadi, saya suruh Mamat buat versi filem, ketika itulah saya ‘kurung’ dia di apartment kira-kira tiga bulan, namun secara intensif selama sebulan setengah sahaja,” katanya sambil ketawa kepada hos Adlin Aman Ramlie dan Datuk Khairul Anwar Salleh.

Tambahnya, proses untuk mendapatkan idea Allahyarham yang luar biasa bukanlah perkara mudah dan hal itu juga diakui oleh ramai kenalan rapatnya.

“Semua orang pernah kerja dengan Mamat memang tahu dia ini genius tetapi nak perah (idea) itu daripada dia ibarat menunggu uban tumbuh. Jadi, saya beritahu dia ‘sorrylah Mat (Mamat) aku memang kena kurung kau, hari-hari aku akan hantarkan makanan dan check progres skrip’.

“Kalau tak kurung memang distraction (gangguan) banyak, dia jumpa kawan itu, jumpa Loloq (Allahyarham Rosli Khamis) lah. Selepas dikurung memang dia disiplin siapkan sehinggalah final draft filem PGL kerana kita mengejar deadline untuk pengambaran,” kongsinya.

Tambahnya, Allahyarham juga ada memberikan nama timangan istimewa kepadanya iaitu ‘Camptown Ladies’ lirik daripada lagu Camptown Races nyanyian Stephen Foster yang menjadi siulan gurauan antara mereka.

Untuk rekod, PGL ditayangkan di pawagam pada 31 Ogos 2004 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-47 dan memperoleh kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM2.9 juta.

Filem itu juga telah memenangi lima daripada 10 pencalonan di Filem Festival Malaysia ke-18 dan menjadi filem Malaysia pertama dihantar oleh kerajaan untuk menyertai Anugerah Akademi ke-77 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI