fbpx

Saya juga Ketua Persatuan Pekerja – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

KLANG – Syarikat-syarikat swasta digesa tidak meminggirkan kebajikan pekerja dengan mengembalikan keuntungan diperolehi menerusi kenaikan gaji.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kejayaan sesebuah syarikat adalah didukung bersama produktiviti diberikan pekerja selain sistem pengurusan.

Katanya, sebagai contohnya adalah Pelabuhan Barat (Westport) yang telah mencapai kejayaan sepanjang tempoh 30 tahun ini.

“Kalau ekonomi baik. pelabuhan lebih cekap dan keupayaan meningkat, keuntungan lebih tinggi, saya kata kadar upah pun harus ditingkatkan.

“Kerana, kita ada produktiviti, kalau meningkat, upah setakat itu, naiklah sikit. Jadi naik itu harus, tetapi ikut keupayaan dan kadar supaya tak membebankan syarikat.

“Saya bukan sahaja Perdana Menteri, tetapi ketua persatuan pekerja Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti Westports dan Pelabuhan Klang, hari ini.

Tegas Anwar, langkah tersebut juga adalah selaras dengan konsep Madani yang mengetengahkan konsep ihsan dan maju sebagai sebuah keluarga besar.

Sementara itu, beliau yang merupakan Menteri Kewangan memaklumkan kos harga barang dan mengurangkan beban rakyat antara ditumpukan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Anwar menjelaskan, meskipun inflasi negara rendah berbanding negara jiran namun masih ramai terkesan di negara ini.

“Kita lihat yang positif. Masalah kita adalah kos harga barang. Naik betul, ada masalah betul, sebab itu saya kata Belanjawan Madani bulan Oktober saya akan cuba kurangkan beban.

“Saya bincang dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, masa itu bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dia tanya inflasi Malaysia berapa? Dijawab, dua peratus kadang-kadang tiga peratus. Dia kata betul, saya tanya Rusia berapa? Lapan peratus. Kawan saya di Turkiye, (Presiden Recep Tayyip Erdoğan) berapa inflasi, 40 peratus.

“Tetapi kita masih perlu ambil langkah untuk kurangkan dan cari jalan untuk buat, ada hal kita boleh kurangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI