fbpx

Ramai tak tidur dengar khutbah Jumaat JAIS berkait GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar siaran langsung khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

PETALING JAYA – Khutbah Jumaat di seluruh Selangor hari ini mencuri tumpuan para jemaah apabila membincangkan tentang isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak di rumah amal yang dimiliki GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Dengan tajuk ‘Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak’, isi khutbah itu disediakan oleh Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Di dalam teks khutbah itu, mimbar menyifatkan kejadian tersebut amat mendukacitakan kerana rumah amal tersebut sudah lama beroperasi di beberapa negeri lain termasuk Selangor.

Mimbar juga berkata, anak-anak adalah suatu amanah daripada Allah untuk dijaga kemuliaan dan kebajikan mereka.

Ujarnya, ibu bapa serta penjaga termasuk rumah amal bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak.

“Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan.

“Kenapa pihak GISBH melakukannya? Pihak GISBH hendaklah faham bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni,” katanya.

Teks khutbah itu juga memaklumkan adalah tidak wajar apa yang dilakukan pihak GISBH jika benar siasatan menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Di penghujung khutbah, mimbar juga menyenaraikan beberapa pengajaran yang boleh diambil buat masyarakat di luar sana.

Katanya, umat Islam hendaklah menyayangi dan menyantuni kanak-kanak dengan penuh kasih sayang.

“Umat Islam hendaklah sama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan kezaliman dengan penuh amanah, ikhlas dan tegas demi kebajikan dan kemaslahatan nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai yang bukan sahaja memuji tindakan JAIS mengetengahkan isu GISBH malah mengakui tidak mengantuk kerana fokus mendengar intipati khutbah Jumaat hari ini.

“Terima kasih JAIS untuk khutbah Jumaat minggu ini yang memfokuskan isu GISBH. Harap penyampaian ini dapat membuka mata lebih ramai penyokong GISBH di luar sana,” komen Akhi Fairuz.

“Sepanjang aku solat Jumaat ini pertama kali aku saksikan khatib baca teks khutbah jadi sebak dan mengalirkan air mata. Pujian buat pihak JAIS lantang dalam menyuarakan isu ini,” komen Akmal.

“Baru nak terlelap sekali khatib bagitahu tajuk khutbah ‘Mengapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak. Segar terus mata. Tak sabar nak dengar untuk tahu mengapa. Sekarang dah tahu kenapa,” komen Khairul.

“Alhamdulillah. Hari ini khutbah Jumaat di lokaliti bawah JAIS membawa isu GISB. Hari ini ramai yang fokus mendengar khutbah daripada tidur ketika khutbah berlangsung,” komen Ikmal Johari pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI