KLUANG – Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dinasihatkan keluar awal berikutan keadaan cuaca tidak menentu pada hari pengundian esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang jadi para pengundi dinasihatkan untuk merancang perjalanan ke pusat mengundi.
Jelasnya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca dalam keadaan baik dan cerah pada waktu pagi namun dijangka berlaku hujan serta ribut petir di sebelah petang.
“Oleh yang demikian, rancang sebaik-baiknya perjalanan untuk keluar mengundi esok dengan tidak menunggu saat akhir datang ke pusat pengundian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Ikmalrudin berkata, persiapan dilakukan membabitkan 1,126 petugas yang akan digerakkan bagi membantu melancarkan proses proses pengundian di 20 Pusat Daerah Mengundi dengan 109 saluran dibuka. – KOSMO! ONLINE