fbpx

Pencuri kabel mahu rempuh polis, lima das tembakan dilepaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Mohsin menunjukkan empat suspek yang ditahan polis pada sidang akhbar di IPD Arau, hari ini.

ARAU – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang cuba merempuh anggota dalam kejadian di Jejawi, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, empat lelaki yang menaiki SUV jenis Proton X70 tersebut cuba melarikan diri selepas menyedari kegiatan curi kabel Telekom Malaysia (TM) dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kegiatan suspek dikesan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis ketika melakukan rondaan Op Kabel/Kesan/Op Lejang di persimpangan masuk Taman Jejawi Permai.

“Anggota polis cuba menahan SUV tersebut, namun pemandunya bertindak agresif dengan memandu laju ke arah anggota polis dan cuba merempuh pasukan bertugas.

“Dalam cubaan tersebut, dua anggota polis yang rasa terancam terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek sebagai amaran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, tiada suspek yang cedera dalam kejadian itu dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 34 tahun berjaya ditahan.

“Hasil siasatan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Seorang daripadanya mempunyai satu rekod berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod dadah dan dua rekod jenayah,” jelasnya.

Katanya, polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk gergaji besi, pelbagai jenis pemotong, penukul dan kabel TM sepanjang 150 meter.

“Selain peralatan curi, kami juga merampas kenderaan Proton X70 yang digunakan suspek serta beberapa barangan lain termasuk dua telefon bimbit,” jelasnya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menyewa kereta di Pulau Pinang dengan tujuan ingin ke Genting Highland, namun sebaliknya menuju ke utara.

Tambahnya, kesemua suspek beralamat di Sungai Petani, Kedah direman selama empat hari bermula hari ini dan polis memburu dua lagi suspek yang melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI