PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel yang sedang tular di media.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu ini telah menarik perhatian orang ramai dan pihak berkepentingan.
“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan isu tersebut secara menyeluruh dan mencari penyelesaian yang adil tanpa membebankan pelanggan.
“Keutamaan saya adalah memastikan amalan dan polisi hotel selari dengan kepentingan pengguna, sambil menjamin kelangsungan industri perhotelan yang berdaya saing dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang kini mewakili negara di persidangan United Nations World Tourism Organization (UNWTO) turut menyatakan komitmen untuk menghadiri mesyuarat tersebut sebaik pulang ke Malaysia.
King Sing turut memberi jaminan bahawa MOTAC akan mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani isu tersebut.
“Pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan akan dipertimbangkan bagi memastikan industri perhotelan di Malaysia kekal kompetitif dan mesra pelanggan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.