BATANG KALI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama menyeluruh daripada semua pihak untuk menyokong usaha kerajaan dalam menoktahkan isu keciciran pembelajaran di negara ini.
Anwar berkata, pelbagai bantuan perlu diberikan kepada anak-anak yang tidak berkemampuan dan tercicir untuk meningkatkan keupayaan mereka, terutama dalam memberi ruang dan peluang kedua di dalam pendidikan.
“Oleh itu, kerajaan memberi peruntukan tambahan RM100 juta kepada Program Anak Kita di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) supaya tidak membebankan kementerian dengan tanggungjawab sedia ada.
“Saya harap kemudahan ini dimanfaat sebaiknya. Ibu bapa harus ada tanggungjawab. Guru-guru terpaksa dibebankan kerana guru-guru bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa tercicir.,” katanya dalam rakaman video ucapan perasmian Peluncuran Program Anak kita: Semarak Potensi Malaysia di sini, hari ini.
Tambah beliau, anak-anak juga perlu mengambil kesempatan itu dengan sebaiknya. Tiada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula.
Di samping itu, Anwar berkata, program tersebut merupakan usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan.
“Keciciran bukan perkara yang baru, tetapi menjadi lebih rumit dan mencabar tatkala Malaysia berdepan permasalahan pasca Covid-19.
“Orang yang berjaya tidak semua terus berjaya. Ada yang kalah, tewas dan gagal; tetapi akhirnya berjaya ialah dia yang sanggup bangkit semua dengan kesungguhan dan iltizam baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Selasa lalu, Fadhlina dalam kenyataan berkata, kerajaan melaksana program pemulihan pembelajaran dikenali Program Anak Kita bagi menangani masalah keciciran pelajar di negara ini.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global.
Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP) pada tahun lalu, sejumlah 10,160 atau 2.65 peratus calon tidak hadir untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 395,870 calon yang berdaftar.
Sejumlah 6.5 peratus atau 25,735 pelajar daripada jumlah pelajar yang menduduki pada tahun sama tidak layak menerima sijil SPM mereka. – KOSMO! ONLINE