KUALA NERUS – Seekor siput limpet membawa tuah kepada seorang budak lelaki berusia 11 tahun apabila muncul juara pertandingan lumba siput, Siputrace anjuran Nostalgia Studio Jalan Ampas, Tok Jembal di sini malam tadi.
Kemenangan menewaskan 186 peserta lain berkenaan membolehkan Muhammad Ar Rayyan Saharuddin membawa pulang ganjaran wang tunai RM1,000.
Murid tahun lima yang berasal dari Kampung Tok Jembal di sini berkata, siput bertuah tersebut merupakan antara empat ekor spesies sama yang dibelinya pada harga RM2.
Pertandingan SiputRace yang julung kali diadakan itu memberi kebebasan kepada peserta untuk menggunakan apa-apa jenis siput termasuklah siput sedut, siput babi, siput gondang dan siput buluh.
Dalam pada itu, penganjur pertandingan, Muhammad Yusri Muda berkata, pertandingan SiputRace merupakan acara selingan memeriahkan tapak jualan makanan, minuman dan cenderahati program Nostalgia Studio Jalan Ampas. – KOSMO! ONLINE