fbpx

Malaysia komited hasilkan minyak sawit mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari.

PETALING JAYA – Malaysia dengan tegas mengulangi komitmen terhadap pengeluaran minyak sawit mampan, susulan pengumuman Suruhanjaya Eropah yang tidak akan menangguhkan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebagai sebuah negara, Malaysia komited kepada matlamat utama kemampanan global seperti mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan dan mencapai pelepasan mencapai pelepasan sifar bersih gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050.

Katanya, seterusnya mengurangkan intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mengurangkan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Sektor minyak sawit Malaysia mengguna pakai piawaian kemampanan ketat melalui skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kami terhadap ketelusan dan kebolehkesanan merentasi rantaian bekalan, tetapi juga untuk memastikan industri bersedia sepenuhnya untuk peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia menekankan empat bidang tumpuan utama dalam memastikan kemampanan produk minyak sawit Malaysia, merangkumi unsur kebolehkesanan, bebas penebangan hutan, hak milik tanah yang sah dan amalan buruh yang baik selaras dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Katanya, daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia, 73 peratus diterajui oleh syarikat besar, yang kebanyakannya telah dilengkapi dengan pengetahuan dan sokongan untuk mematuhi peraturan dan eksport ke pasaran Eropah.

“Baki 27 peratus pengeluaran sawit hasil daripada 450,000 pekebun kecil, menghadapi cabaran unik dalam menyesuaikan diri dengan landskap peraturan yang semakin berkembang.

“Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi secara aktif mengusahakan inisiatif pembinaan kapasiti untuk menyokong peralihan mereka ke arah pematuhan EUDR,” ujarnya.

Katanya, ia penting dalam memastikan mata pencarian pekebun kecil tersebut tidak terjejas dengan pelaksanaan peraturan berkenaan.

Malah, beliau berkata, Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi antarabangsa untuk memastikan hasil yang saling menguntungkan dan memerangi perubahan iklim dan penebangan hutan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI