PUTRAJAYA – Malaysia mencapai kedudukan pada tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), pencapaian tertinggi sejak 2016 itu adalah peningkatan ketara setelah tiga tahun berturut-turut menduduki tangga ke-36.
Jelasnya, ia sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus menambah baik ekosistem inovasi negara dan seterusnya meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Malaysia kekal menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah berdasarkan Laporan GII 2024 itu.
“Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura dan berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi tiga sub-indikator iaitu Graduates In Science And Engineering, High-Tech Exports dan Creative Goods Exports,” katanya hari ini.
Mosti berkata, ekosistem inovasi Malaysia turut diperkukuhkan dengan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi yang turut dilaporkan dalam Laporan berkenaan.
Katanya, kemasukan Kuala Lumpur dalam senarai itu adalah kali pertama sejak tahun 2016 sekali gus menjadi bukti peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di rantau Asia Tenggara.
“Pencapaian ini bukti komitmen kerajaan amnya dan Mosti khasnya untuk memperkukuhkan ekonomi negara berasaskan kepada inovasi.
“Malaysia akan terus mempertingkatkan usaha untuk melabur dalam modal insan dan infrastruktur teknologi bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global,” ujarnya.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan berkata, bagi memastikan Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025, Mosti dengan kerjasama semua kerajaan negeri sedang membangunkan Indeks Inovasi Malaysia yang akan dilancarkan tahun depan.
Tambahnya, inisiatif ini bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ekosistem inovasi di setiap negeri, sekali gus membolehkan pelaksanaan intervensi bersesuaian ke arah memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE