ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa bermandi peluh sebelum mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan kekal di persada liga dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini.
Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim berjaya menyaingi kehebatan JDT apabila sesekali melancarkan serangan balas ke kubu lawan.
Obregon berjaya mencipta jaringan pada minit ke-40 setelah menolak bola yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Shahril Sa’ari ke gawang lawan namun jaringan itu dibatalkan setelah penyerang kelahiran Colombia berada dalam kedudukan ofsaid.
Disiplin tinggi yang dipamerkan Kuching City gagal diterjemahkan pada separuh masa kedua apabila gawang mereka bolos ketika perlawanan baru berusia tiga minit.
Kesilapan Moses Atuluku yang gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya dirampas Arif Aiman lalu melakukan hantaran lambung kepada Bergson yang tidak dikawal pertahanan menanduk masuk menewaskan Shahril pada minit ke-48.
Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Bidoglio mampu menarik nafas lega apabila Juan Muniz berjaya menambah jaringan buat Harimau Selatan setelah sepakan lereknya melepasi jangkauan Shahril bagi meletakkan JDT di kedudukan 2-0.
Pemain gantian, Fernando Welter yang dimasukkan pada babak kedua berjaya merapatkan kedudukan buat Kuching City pada minit ke-84 namun tidak berjaya memburu gol penyamaan hingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE