KLANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM6 juta khusus untuk usahawan India dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Timbalan Menterinya, Datuk R. Ramanan berkata, peruntukan tambahan melalui agensinya SME Corp. Malaysia akan disalurkan menerusi program sedia ada yang dijenamakan sebagai Business Accelerator Programme for Indian Small Business atau I-BAP.
Katanya, I-BAP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan antara RM5,000 sehingga RM100,000 bagi tujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan dan produktiviti PMKS.
“Ini merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta kecekapan pengeluaran.
” Selain itu, adalah untuk pensijilan produk, adaptasi Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan e-Dagang, penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pelaksanaan kempen pemasaran serta promosi,” katanya ketika ditemui semasa sesi lawatan ke Renewcell (M) Sdn.Bhd di Bukit Raja, hari ini.
Beliau menjelaskan peruntukan khusus merupakan usaha berterusan kerajaan untuk merealisasikan matlamat kerangka Ekonomi Madani bagi mencapai pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan.
Permohonan I-BAP secara dalam talian akan dibuka mulai 7 Oktober depan dengan maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman sesawang www.smecorp.gov.my. – KOSMO! ONLINE